Pancaindera keenam manusia

Manusia sempurna dilahirkan dengan lima pancaindera yang berfungsi untuk berinteraksi di sekitar lingkungan kehidupan. Namun, tanpa kita sedar, dalam tubuh kita juga terdapat satu kuasa super natural yang membantu kita dalam keadaan tertentu. Ia disebut sebagai extrasensory perception (ESP) atau pancaindera keenam.

Pernahkah anda mengalami satu situasi di mana anda ragu-ragu untuk melakukan sesuatu perkara? Sebagai contoh, anda berasa berat hati untuk pergi ke sesuatu lokasi, dan ternyata ketika dalam perjalanan anda telah ditimpa suatu musibah yang tidak diinginkan. Ataupun, tiba-tiba anda berasa gelisah dan teringatkan seseorang. Kemudian, tanpa disangka-sangka anda mendapat berita bahawa dia sedang sakit atau meninggal dunia. Inilah yang dimaksudkan dengan ESP.

Ia adalah suatu perkara yang menarik untuk dibincangkan kerana tanpa disedari, ia sering berlaku dalam kehidupan. Kadang-kadang, kita sendiri sedar akan hal berkenaan, tetapi lebih cenderung mengambil sikap acuh tak acuh dan menganggapnya sebagai mainan perasaan semata-mata.

Untuk fahaman yang mudah, orang Melayu menyatakannya dengan istilah ‘tak sedap hati’. Dalam masyarakat Melayu sendiri, ia kadangkala hadir dalam bentuk sesuatu petanda. Contohnya, jika sebutir cawan atau pinggan kaca jatuh ke lantai dan pecah, perasaan seseorang akan cenderung kepada ‘tak sedap hati’. Kebiasaannya, naluriah itu dialami oleh seorang perempuan yang bimbang sesuatu yang buruk berlaku kepada ahli keluarganya. Apa yang menghairankan, ia benar-benar terjadi. Adakah itu satu kebetulan?

Bukan saja orang Melayu, malah masyarakat lain di seluruh dunia turut mempercayai tentang perkara ini. Kaji selidik yang dijalankan oleh Universiti Baylor, Texas, Amerika Syarikat mendapati 65 peratus daripada responden mempercayai tentang kuasa psikik manusia. Manakala dalam satu lagi kaji selidik yang berasingan, 80 peratus responden mendakwa mereka pernah mengalami situasi seperti ini.

Bagaimanapun, fenomena ini dilihat lebih menjurus kepada unsur paranormal. Apa pula huraiannya dari sudut sains?

Profesor Dr. Azhar Md. Zain
Pensyarah dari Jabatan Psikiatri, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia, Profesor Dr. Azhar Md. Zain menjelaskan, dalam dunia sains, pancaindera keenam manusia boleh dibahagi kepada tiga perkara iaitu clairvoyance, clairsentience dan clairaudience. Fenomena ini termasuk di dalam clairsentience di mana ia mempunyai hubung kait dengan perasaan seseorang. Ada yang mengistilahkannya sebagai gerak hati, firasat, kasyaf dan sebagainya.

Fenomena ini berlaku secara berulang-ulang, yang memberikan informasi mengenai apa yang sedang berlaku, atau apa yang akan terjadi pada masa hadapan. Dengan kata lain, ia memiliki sifat ramalan. Bagaimanapun, ada sesetengah individu mampu mengesannya hanya melalui satu petanda sahaja.

Kebanyakan perkara yang bersifat ramalan ini berkaitan dengan bencana, sakit, kemalangan atau kematian, bahkan sehingga ke peringkat pembunuhan. Namun, ada kala ianya juga mempunyai kaitan secara tidak langsung dengan hal-hal kecil yang terjadi kemudian hari.

Menurut Profesor Azhar, semua manusia boleh mengalami fenomena ini. Ia tidak terbatas kepada status, jantina, lokasi, budaya dan agama. Apa yang berbeza hanyalah peristiwa yang dialami dan intensiti sesuatu perkara – sama ada ramalan tersebut jelas atau tersirat.

Melalui proses imbasan terhadap otak manusia menunjukkan fenomena ini berlaku di bahagian otak yang mengawal emosi seseorang. Hasil ujian itu mendapati, individu yang memiliki emosi yang lebih terkawal mempunyai kemampuan yang lebih tinggi untuk mengalami fenomena ini. Contohnya orang yang secara aktif dan teratur mengikut disiplin mental seperti bermeditasi, bertapa atau yoga. Kajian menunjukkan manusia-manusia seperti ini mampu mengawal gelombang otak mereka.

Selain itu, hasil kajian yang terbaru juga menunjukkan bahawa individu yang kreatif dan seseorang yang mengalami masalah stres atau depression juga cenderung mengalami fenomena yang sama. Orang-orang seperti ini tidak gila atau aneh, tetapi kadangkala mereka mempunyai kemampuan untuk meramal sesuatu yang akan terjadi. Bahkan sesetengah daripada mereka mempunyai ramalan yang sangat tepat.

Bagaimanapun, terdapat juga teori yang berkaitan dengan fenomena clairsentience ini iaitu Laws of Large Numbers. Teori Laws of Large Number diutarakan oleh ahli psikologi Inggeris, Robert Todd Carroll yang menganggap ia hanyalah satu kebetulan yang muncul kerana hukum statistik.

Mungkin ramai yang akan bertanya mengapa fenomena seperti ini terjadi. Setakat ini, saintis hanya mampu mengatakan ia sebahagian dari mekanisme pertahanan hidup manusia. Mungkin dengan cara ini, manusia akan diingatkan dengan bahaya yang akan datang. Secara asasnya, sains belum mampu menjelaskan fenomena ini dengan sempurna. Hanya teori saja yang mampu dikeluarkan untuk memberi sedikit gambaran tentang perkara ini.

Comments

Popular posts from this blog

Pengawal Rumah Melayu Lama

Laluan rahsia Genting Bidai

Air yang menyembuhkan penyakit