Nilai Syiling Lapan Tan

Suatu ketika dahulu, masyarakat di pulau Yap, Persekutuan Micronesia pernah menggunakan mata wang aneh yang diperbuat daripada batu dalam sistem perdagangan mereka. Wang ini berbentuk bulat seperti donat, dengan diameter di antara satu hingga 12 kaki serta mempunyai berat sehingga mencecah lapan tan.

Disebabkan bentuknya yang besar, wang syiling yang dikenali sebagai  rai ini dibiarkan sahaja oleh pemiliknya di luar rumah mereka. Bahkan, ada sesetengahnya membiarkan duit tersebut di dalam hutan kerana tidak mampu membawanya balik ke rumah. Mereka tidak bimbang wang tersebut dicuri kerana masyarakat setempat mengetahui siapa pemilik terkini wang itu melalui rekod penggantian pemilikan.

Tiada sesiapa pun yang mahu mencuri duit yang ditinggalkan itu. Pertama adalah kerana ia terlalu berat dan memerlukan kekuatan tenaga sekurang-kurangnya 20 orang lelaki dewasa. Dan sebab yang kedua adalah kerana masyarakat setempat sangat menghormati hak orang lain. Justeru, apabila berlaku sebarang transaksi perniagaan bukan daripada pemilik sebenarnya, dengan serta-merta wang itu tidak lagi bernilai.

Apa yang istimewa ialah wang batu itu tetap bernilai walaupun ia tiada di depan mata. Sebagai contoh, rai yang tertanam di dalam tanah ataupun yang tenggelam di dasar laut masih mempunyai nilai yang sama, malah nilainya tidak berkurangan sedikit pun. Sekali pun ia tidak dapat dilihat lagi, masyarakat setempat bersetuju bahawa  rai tetap ada dan masih sah untuk sebarang transaksi sebagai mata wang asli.

Mata wang rai digunakan dalam pelbagai transaksi sosial seperti perkahwinan, transaksi politik, sebagai tanda perikatan, penebusan tahanan perang dan juga pertukaran untuk sumber makanan. Selain itu, ia juga digunakan untuk urusan jual beli tanah, bayaran untuk persembahan tarian serta dijadikan sebagai pampasan kerugian.

Apabila berlaku sebarang transaksi, proses penggantian pemilikan akan dilakukan dalam upacara tertentu mengikut adat istiadat masyarakat setempat. Selepas itu, terpulang kepada pemilik baru sama ada hendak membawa balik, mengubah lokasi atau membiarkan sahaja wang tersebut di tempat asalnya.
             
Terdapat lima jenis mata wang batu yang berbeza iaitu Mmbul, Gaw, Fe’ atau Rai, Yar dan Reng. Kelima-lima nilai wang itu berbeza antara satu sama lain. Ia sama seperti perbezaan di antara ringgit dan sen. Setakat ini, duit batu paling kecil yang ditemui di kepulauan tersebut mempunyai diameter 0.3 meter dengan berat lebih daripada setengah tan.

Menurut Mary B. Dickenson dari National Geographic Society, bahan utama yang digunakan dalam pembuatan mata wang batu ini ialah sejenis batuan hablur seperti kuarza. Bahan-bahan itu bagaimanapun tiada di pulau Yap, sebaliknya ia diambil dari tempat lain seperti kepulauan Papua dan pulau Palau yang mempunyai jarak beratus-ratus kilometer dari Yap.

Setakat tidak diketahui sejarah atau kepercayaan apa yang menyebabkan masyarakat di Pulau Yap sangat menghargai batuan kuarza ini. Tetapi, tahap penghargaan mereka pada batu itu mungkin sama seperti masyarakat moden yang mengagungkan emas. Disebabkan nilainya yang tinggi pada pandangan masyarakat Yap, mereka sanggup melakukan apa sahaja termasuk mengorbankan nyawa semata-mata kerana wang batu ini.  

Apa yang menarik ialah, nilai nominal wang itu bersifat subjektif. Ia tidak dinilai semata-mata berdasarkan ukuran, kehalusan pembuatan atau kualiti pahatannya, tetapi juga dinilai dari segi sejarah, umur batu serta tahap kepayahan untuk membawanya pulang ke pulau Yap. Faktor ini juga termasuk pengorbanan dan jumlah nyawa yang melayang untuk mempertahankan syiling batu itu. Selain itu, ia turut dinilai melalui status sosial seseorang yang memiliki wang tersebut – wang batu di tangan pemimpin adalah lebih bernilai daripada yang dimiliki oleh rakyat jelata.

Penggunaan mata wang rai ini dipercayai bermula sekitar 500 hingga 600 tahun dahulu. Ia telah diperkenalkan oleh seorang bangsawan bernama Anagumang. Kemuncak perdagangan menggunakan mata wang batu ini adalah sekitar kurun ke-17 dan kurun ke-18. Pada ketika itu, nilai rai sangat tinggi, yang mana ia hanya mampu dimiliki oleh golongan berstatus pemimpin sahaja.

Bagaimanapun, apabila teknologi peralatan besi sampai ke kepulauan itu sekitar tahun 1870-an, penghasilan rai menjadi semakin tidak terkawal. Sehinggakan hitungan rasmi jumlah rai telah melebihi jumlah keseluruhan penduduk di pulau Yap. Disebabkan itu, kadar inflasi meningkat sehingga menyebabkan nilai rai menjadi semakin rendah.

Keadaan itu telah memaksa kerajaan tempatan menetapkan kadar nilai mata wang rai dengan lebih terperinci. Penetapan itu berlandaskan kepada pembuatannya – wang batu yang baru dinilai lebih kecil kerana penghasilannya tidak melalui proses tradisional yang lebih sukar. Ekoran syarat penetapan itu, nilai mata wang rai kembali kukuh pada 1880-an, dan ia berfungsi semula sebagai imbuhan bayaran gaji kepada pekerja.

Sehinggalah pada awal abad ke-20, penggunaan rai dalam perdagangan akhirnya terhenti selepas Sepanyol dan Jerman menjajah kepulauan itu. Kemudian, ketika empayar Jepun mengambil alih pulau Yap semasa Perang Dunia Kedua, mereka telah merampas wang tersebut daripada penduduk dan menggunakannya untuk pembinaan landasan kapal terbang serta kubu pertahanan.

Pulau Yap yang berkeluasan 102 kilometer persegi adalah sebuah negara di bawah Persekutuan Micronesia yang terletak di gugusan kepulauan di tengah-tengah Lautan Pasifik. Lokasinya ialah di sebelah barat kepulauan Carolina dan hanya berjarak 1350 kilometer dari pulau Mindanao, Filipina. Populasi penduduknya pula sekitar enam ribu orang sahaja. Penduduk asal kepulauan ini adalah imigran dari Semenanjung Tanah Melayu, kepulauan Indonesia, Papua New Guinea dan Kepulauan Solomon. Disebabkan itu, bahasa Yapese yang digunakan sehingga kini, mempunyai pengaruh kuat Bahasa Melayu dan Guinea baru.

Kini, transaksi perdagangan di pulau Yap menggunakan mata wang US Dollar. Tetapi, dalam sesetengah perkara, penggunaan rai masih diteruskan oleh masyarakat Yap, kerana hanya mereka sahaja yang tahu betapa pentingnya batu-batuan itu dalam sejarah hidup mereka. 

Comments

Popular posts from this blog

Pengawal Rumah Melayu Lama

Laluan rahsia Genting Bidai

Air yang menyembuhkan penyakit