Muncul wajah manusia pada pokok


Pertengahan tahun 2006, di Kampung Paya, Pajak Song, Pulau Pinang, orang ramai termanggu melihat sebatang pokok pinang yang mengeluarkan pelepah berwajah manusia. Wajah persis seorang lelaki tua itu lengkap dengan hidung, mata, telinga, dahi dan mulut. 

Menurut pemilik pokok pinang tersebut, Miah Majid, 60, seumur hidupnya, dia tidak pernah melihat pokok pinang miliknya menjadi begitu. Jelasnya, sebelum kejadian pelik terbabit berlaku, pokok berkenaan tumbuh dalam keadaan normal. Tidak berapa lama kemudian, wajah itu mulai muncul pada bahagian upih.

Ekoran dari kejadian aneh itu, perkarangan rumah Miah mula dipenuhi orang ramai yang datang dari segenap pelosok daerah negeri tersebut untuk melihat sendiri pokok pinang berkenaan. Malah, ada juga di antara mereka yang sanggup datang dari Kuala Lumpur dan  negeri-negeri pantai timur semata-mata untuk melihat imej yang menyeramkan itu.

Seorang saksi yang melihat kejadian itu, Zainol Nayan, 54, berkata, dia ternampak gambaran aneh pada pokok tersebut kira-kira beberapa minggu sebelum perubahan bentuk berlaku pada upih berkenaan.

Fenomena anomali yang muncul pada struktur pokok ini bukan sahaja pernah berlaku di negara kita tetapi turut dilaporkan berlaku di negara-negara barat. Mengikut laporan sebuah akhbar, Daily Times, seorang lelaki di Amerika Syarikat mendakwa pernah melihat wajah manusia pada sebatang pokok Oak di kawasan perkuburan Maryville.

Lelaki tersebut yang bernama Ernest Ward yang bekerja di kawasan perkuburan itu terkejut apabila mendapati potongan batang pokok yang digergajinya memaparkan imej wajah manusia. Katanya, imej berkenaan kelihatan seperti lakaran muka seorang manusia yang lengkap dengan mata, hidung dan mulut.

Bagi membuktikan penemuan peliknya itu, Ward membawa kepingan kayu berkenaan ke pejabat akhbar Daily Times. Berikutan itu timbul pelbagai andaian berhubung lakaran pada kepingan pokok oak berkenaan, termasuk kemungkinan ia wajah hantu atau jelmaan disebabkan kedudukan pokok yang terletak di tanah perkuburan Maryville. Kehadiran Ward di pejabat akhbar itu turut mencetuskan kekecohan. Malah, ada yang mencadangkan supaya Ward menjual kepingan kayu itu di dalam laman sesawang lelong, e-bay.

Keajaiban fenomena kemunculan wajah manusia pada pokok telah menarik minat pakar Fizik Kayu, Jabatan Pengeluaran Hutan, Fakulti Perhutanan, Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya, Dr. Mohd Zin Jusoh mengulas mengenai perkara ini. Katanya, kemunculan imej pada pokok bukanlah sesuatu yang mistik. Malah, ia hanyalah fenomena biasa dalam proses pertumbuhan pada semua jenis spesies pokok.

Jelasnya, kejadian seumpama ini sentiasa berlaku dalam sel-sel fisiologi pokok. Secara normalnya, sel-sel ini akan bertindak balas  dalam proses pertumbuhan pada bahagian pokok seperti daun, bunga, dahan dan buah. Namun, sekiranya sel-sel ini tidak bertindak balas akan menyebabkan pertumbuhan pokok menjadi tidak normal. Justeru, ia akan mengakibatkan ketidaksamaan dalam pertumbuhan pokok dan wujud perbezaan pada spesiesnya. 

Selain faktor sel-sel fisiologi tidak normal, kejadian ini juga mungkin boleh berlaku akibat kecederaan fizikal pokok. Jelas Dr. Mohd Zin, terdapat  tiga ancaman yang menyebabkan berlakunya kecederaan pada fizikal pokok iaitu serangan kulat, serangga dan manusia.

Akibat kecederaan itu, pokok akan melakukan proses membaik pulih. Proses ini dikenali sebagai proses luahan agen pertahanan untuk menghalang bakteria daripada menyerang pokok.  Apabila keadaan pokok kembali normal, pelbagai kesan dapat dilihat pada keseluruhan struktur pokok.

Antaranya, kesan yang seakan-akan wajah manusia, imej binatang dan simbol-simbol tertentu. Selain itu, kesan perubahan akibat proses ini akan mengakibatkan ketidaknormalan pada bahagian fizikal pokok seperti kesan-kesan lubang pada batang pokok, saiz buah yang luar biasa, dan sebagainya.

Mengulas mengenai kes yang berlaku di Pulau Pinang dan Amerika Syarikat, Dr.Mohd Zin menjelaskan,  kemunculan imej berkenaan mungkin disebabkan faktor sel-sel fisiologi pokok yang tidak normal. Melalui pemerhatian secara kasar mendapati, fizikal kedua pokok ini tumbuh berbeza daripada jenis spesiesnya.  

Comments

Popular posts from this blog

Pengawal Rumah Melayu Lama

Laluan rahsia Genting Bidai

Air yang menyembuhkan penyakit