Pengawal Rumah Melayu Lama

Setiap rumah tradisional Melayu lama pasti akan mempunyai sebatang tiang yang diberi nama tiang seri. Berkedudukan di tengah rumah ibu, ia sangat istimewa berbanding tiang-tiang yang lain.  

Mengikut kepercayaan masyarakat Melayu dahulu, kewujudan tiang seri bertujuan untuk menjaga keselamatan dengan bertindak sebagai perisai daripada gangguan jahat. Peliknya, bagaimana pula sebatang tiang kayu boleh berbuat demikian? Jika dilihat daripada segi logiknya, tiang ini berkedudukan tetap dan jelas sama sekali tidak berfungsi apa-apa untuk keselamatan.

Seorang penduduk dari Kampung Bukit Bakar, Machang, Kelantan, Zakaria Sulaiman, 80, memberitahu, sukar untuk membuktikan sama ada benar tiang seri mempunyai kuasa yang luar biasa. Ini kerana, tiada bukti kukuh mengenainya. Namun, kepercayaan masyarakat Melayu dulu yang kuat berpegang pada kepercayaan khurafat menyebabkan mereka sanggup melakukan perjanjian dengan makhluk ghaib. Justeru, fenomena ini berlaku disebabkan kehadiran entiti yang dilantik sebagai pengawal dan menjaga keselamatan rumah itu. 

Zakaria menunjukkan tiang seri yang
terdapat dirumahnya.
Soalnya sekarang, bagaimana pula entiti boleh hadir dalam tiang ini? Jelas Zakaria, sebelum sesuatu tiang seri dipacak, upacara ‘menjamu’ akan dilakukan oleh pawang dan dukun. Upacara itu menggunakan mantera-mantera yang dibaca khas bagi memanggil semangat (entiti) untuk dimasukkan ke dalam tiang seri. Kemudian, selepas selesai upacara itu, tiang itu akan segera dipacak ke dalam tanah dan barulah proses pembinaan rumah berlangsung.

Menurut Ketua Jabatan Seni Bina, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Ar. Mastor Surat, tiang seri dalam bidang seni bina bermaksud sebuah tiang yang paling tinggi terletak di tengah-tengah ruang rumah. Tiang ini tidak berdinding dan merupakan tonggak utama untuk menyokong kedudukan rumah ini. Tiang seri biasanya diambil daripada sebatang pokok keras seperti Cengal dan Balau.

Ar. Mastor Surat
Katanya, ia memang istimewa berbanding tiang-tiang lain kerana ia merupakan keunikan dalam seni bina Melayu. Berdasarkan kajiannya, hampir 100 peratus rumah tradisional Melayu mempunyai tiang seri. Malah perkaitan tiang seri dengan unsur entiti begitu kuat sekali.

Jelas Mastor, dia sendiri pernah menyaksikan bagaimana unsur entiti ini menjalankan tugasnya sebagai penjaga rumah sewaktu dia bersama beberapa pengkaji lain sedang menjalankan operasi memindahkan sebuah rumah lama di Kelantan. Waktu itu barulah dia faham tentang apa yang dipanggil sebagai perundingan antara manusia dengan entiti yang menjaga rumah itu.

Sebelum kejadian tidak diingini berlaku, penjaga rumah awal-awal lagi telah memaklumkan kepada Mastor supaya dilakukan satu upacara khas untuk mendapatkan persetujuan entiti tiang seri rumah berkenaan untuk turut sama berpindah dan tidak mengganggu kerja-kerja yang dilakukan.

Mastor menunjukkan
kedudukan tiang seri dalam
rumah melayu lama.
Ketika upacara itu berlangsung, beberapa syarat perlu dipenuhi termasuklah menyediakan jamuan yang terdiri daripada telur, pulut kuning dan ayam panggang. Selepas itu, seorang perantara akan mula berkomunikasi dengan entiti pada tiang itu bagi mendapatkan persetujuan untuk memindahkan rumah itu. Tidak lama selepas itu orang perantara ini memberitahu entiti itu bersetuju. keesokan harinya barulah kerja-kerja membuka rumah dilakukan.

Gambar sekadar hiasan
Jelas Mastor, dia banyak menemui objek-objek seperti duit syiling, tempurung, emas, belacan, paku dan logam perak sewaktu melakukan kerja-kerja pemindahan di kebanyakan rumah tradisional Melayu lama. Mengikut pendapatnya, masyarakat Melayu sememang terikat dengan kepercayaan animisme yang kuat. Keadaan ini telah mempengaruhi pemikiran orang dulu kala supaya menjaga unsur-unsur ghaib agar sentiasa sejahtera.

Comments