Manusia Jelmaan Harimau

Gambar sekadar hiasan

Kemunculan manusia yang boleh menjelma harimau sering kali kita dengar dari cerita orang tua-tua. Namun, sejauh manakah cerita mengenainya terbukti benar dan bukan direka-reka. Infiniti cuba menyingkap kisah sebenar asal-usul harimau jadian.

Menurut seorang warga emas dari Kampung Mengketil, Machang, Kelantan yang lebih mesra dipanggil Pak su Roni atau nama sebenar Abdul Rani Abdul Rahman, 68, mendakwa jelmaan manusia harimau telah wujud sejak 100 tahun dulu.  

Cerita Pak su Roni, kemunculan harimau jadian ini bermula dengan sebuah kisah seorang pencari Damar bernama Ismail yang tinggal di Gua Musang. Bapa kepada tiga orang anak ini sangat cekap dan mahir sewaktu berada dalam hutan. Setiap kali keluar mencari damar, pasti dia akan pulang dengan hasil yang lumayan. Begitulah rutin harian yang sering dilakukan olehnya.

Pak su Roni
Namun, tidak lama selepas itu sewaktu melakukan rutin hariannya di dalam hutan, dia tidak menjumpai jalan untuk pulang ke rumah. Anehnya, laluan yang di tanda semasa melalui denai-denai tidak ditemuinya. Dia mula berasa bimbang kerana cuaca pun mulai gelap. Meskipun begitu, Ismail tidak berputus asa dan berusaha mencari jalan pulang tapi selepas meredah mengelilingi hutan tetap tidak menemukan jalan yang dilaluinya sebelum ini.

Jelasnya lagi, selepas berhari-hari sesat di dalam hutan tanpa sebarang makanan dan kekurangan air, Ismail masih lagi tidak menjumpai jalan pulang. Badannya mulai lemah dan sudah tidak bermaya lagi untuk meneruskan perjalanan. Bagaimanapun, sewaktu meneruskan perjalanan dia telah menemui sebatang sungai. Di seberang sungai itu, dia terkejut dan hairan apabila wujud sebuah penempatan dalam hutan tersebut.

Dia mula terfikir, bagaimana sebuah penempatan boleh wujud dalam hutan ini sedangkan kedudukan kawasan yang berbukit ini sama sekali tidak mungkin penempatan itu boleh wujud. Siapakah mereka ini? Adakah mereka ini bukan manusia? Ismail tertanya-tanya.

Justeru, untuk mengetahui siapakah yang menghuni penempatan itu, dia pun berenang menyeberangi sungai itu. Peliknya, selepas menyeberangi sungai itu, dia terkejut melihat penduduknya adalah manusia biasa.

Kemudian, datang seorang lelaki tua iaitu ketua penempatan itu bertanyakan sesuatu pada Ismail. Dia pun memberitahu ketua di penempatan itu bahawa dia telah sesat berhari-hari ketika mencari damar. Kemudian, lelaki tua itu memberi keizinan kepadanya untuk menumpang di situ.

Bagaimanapun, tanpa disedarinya, dia mula menyukai dan selesa tinggal di kawasan itu. Di situ, dia bekerja dan menjalankan aktiviti hariannya sama seperti penduduk lain dan telah berkahwin dengan salah seorang gadis di situ.

Selang beberapa tahun kemudian, dia mula rindukan kampung halaman dan ingin pulang ke sana. Tapi bagaimana pula dengan nasib isterinya di penempatan itu. Lalu, dia pun menyatakan hasrat pada isterinya untuk pulang ke kampung halaman. Isterinya bersetuju untuk mengikut Ismail pulang tetapi dia tidak boleh dilihat seperti sekarang. Jelas isteri Ismail, dia akan menjelma menjadi harimau.

Ismail terkejut dengan kat-kata isterinya itu. Tapi, kerana rindu pada anak-anak dan isteri di kampung halaman, dia tidak mempedulikan kata-kata isteri keduanya itu. Dia tetap dengan keputusannya untuk pulang balik semula ke kampungnya. Lalu, berlaku peristiwa ganjil. Selepas melepasi menyeberangi sungai yang berdekatan penempatan itu, badan isterinya betul-betul bertukar menjadi seekor harimau belang. Saiznya dua kali ganda lebih besar dari harimau yang sebenar. Ismail terkejut, dia menyesal kerana tidak mendengar kata-kata isterinya itu. 

Anehnya, harimau jelmaan itu tidak menyerang Ismail tapi sebaliknya mengiringinya hingga ke tebing sungai. Kemudian harimau itu terus menghilangkan diri ke dalam hutan semula. Dia cuba mengejar harimau itu, namun usahanya menemui kegagalan. Akhirnya, dia meneruskan perjalanannya. Apabila sampai, penduduk kampung halamannya terkejut dengan kepulangan Ismail. Mereka menyangka, dia sudah meninggal dunia.  

Timbul persoalan di sini, apakah nasib yang menimpa pada harimau jelmaan itu? Ke manakah ia menghilang? Meskipun begitu, tiada siapa yang mengetahuinya.

Tapi, menurut Pak su Roni, selepas Ismail pulang ke kampung halamannya, penduduk sering kali mendengar ngauman harimau pada tengah malam. Tapi, setakat ini tiada lagi kes serangan harimau jadian dilaporkan berlaku. Tambahan itu, bagi membuktikan kewujudan harimau jadian melalui kajian saintifik memang tidak pernah dilakukan setakat ini.


Info ringkas mengenai harimau jadian

-Merujuk kepada sejenis ilmu hitam yang dibantu Jin atau Syaitan
-Digunakan untuk mempertahankan diri
-Pengamalnya kepada ilmu ini mempunyai kekuatan yang luar biasa
-Boleh menjelma separuh dan sepenuh badan harimau
-Memiliki tindak balas yang sangat tinggi











Comments

  1. hebat tapi saya manusia harimau kalau saya marah saya akan bertukar menjadi harimau dan pada waktu malam pun saya akan bertukar pukul 12 mala tapi saya reti kawal kuasa saya saya tak akan bertukar pada 12malam ok berhati hati lah dengan saya

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Pengawal Rumah Melayu Lama

Laluan rahsia Genting Bidai

Air yang menyembuhkan penyakit