Apa itu UFO?

Di Kota Kinabalu, Sabah, seorang saksi melihat sebuah objek bercahaya terbang di udara pada jam 8.00 malam. Objek tersebut pada mulanya kelihatan kecil macam bintang. Akan tetapi ia mula membesar setelah ia turun semakin rendah. Ia  mempunyai bentuk seperti gasing serta berputar-putar. Dia segera lari masuk ke dalam rumah untuk mengambil kamera video. Fenomena aneh ini berjaya dirakamnya  sehingga cahaya tersebut beredar dari situ.


Apakah gerangan objek terbang itu? Ia pasti bukan sebuah helikopter atau pun kapal terbang. Ia juga bukan sebuah satelit mahu pun planet.

Fenomena objek terbang ini bukan saja dilihat di Malaysia, malah ia muncul di seluruh pelosok dunia. Gambaran yang diberi hampir seakan sama dari segi rupa bentuk serta ciri-ciri penerbangannya. Ia pernah muncul di zaman silam dan ia terus muncul dari masa ke semasa hingga ke hari ini. Kebanyakan objek ini dilihat pada waktu malam dan berkurangan pada waktu siang. Waktu kemunculannya agak singkat iaitu sekitar 1 ke 5 minit sahaja. Adakah ia sejenis hantu atau pun jembalang?

Pada tahun sebelum 1948, fenomena objek terbang misteri ini tidak mempunyai satu nama yang rasmi. Pada tahun 1896 ia dipanggil “mystery airships” atau kapal udara misteri di California, Amerika Syarikat. Sewaktu perang dunia kedua, ia digelar “foo fighters” oleh juruterbang kerana objek-objek ini terbang memerhatikan atau mengekori pesawat-pesawat Amerika yang mengebom kedudukan pihak Jerman. Pada tahun 1946 di negara Scandinavia, ia dipanggil “ghost rockets” atau roket hantu.

Kemudian, sekitar tahun 1947, kemunculan objek-objek ini di Amerika Syarikat telah mendapat gelaran – “flying saucers” atau piring terbang. Seorang juruterbang yang sedang terbang dekat Mt. Rainer di Washington ternampak 9 buah objek terbang di udara dalam keadaan seperti piring yang melungsur di atas permukaan air. Pihak wartawan segera melabel objek-objek ini dengan panggilan piring terbang.

Apabila pihak tentera udara Amerika Syarikat dipertanggungjawabkan menyiasat fenomena ini, ketuanya Kapten Edward Ruppelt telah menukar namanya dari piring terbang ke UFO, singkatan kepada ‘Unidentified Flying Object’ atau Objek Terbang yang tidak di kenali.

Istilah ini kekal sehingga ke hari ini. Namun jawapan kepada misteri UFO belum lagi ada. Tidak ada satu kerajaan pun di dunia ini yang menunjukkan minat serta kesungguhan untuk mendapatkan jawapannya. Kajian yang dijalankan sekadar melepas batuk di tangga atau pun mungkin mereka menyimpan hasil kajian sebenar daripada pengetahuan umum. Ini adalah disebabkan oleh kebimbangan implikasi sosial dan politik yang mungkin timbul jika rakyat mengetahuinya. Jawapan kepada misteri UFO kini terletak pada penyiasat UFO persendirian. Banyak seminar dan konferensi tentang UFO telah diadakan, namun kita masih lagi belum nampak sinaran jawapan kepada misteri nombor satu di dunia ini. UFO terus muncul seakan tidak dicabar oleh sesiapa pun. Ia bebas bergerak dan menjalankan aktivitinya tanpa sebarang gangguan.

Jadi untuk memudahkan kajian ini, agar ia teratur dan sistematik, laporan UFO telah diklasifikasikan dalam 7 kategori seperti berikut:

  1. Piring Siang atau “Daylight Discs”. Laporan ini merujuk kepada penemuan objek-objek terbang pada waktu siang. Walaupun disebut piring atau ‘disc’, objek-objek ini dilihat dalam berbagai bentuk seperti bulat, bujur, tiga segi, torpedo dan lain-lain. Walau bagaimana pun, yang sering dilaporkan adalah yang berbentuk piring dan bebola. Berbanding dengan objek yang dilihat pada waktu malam, objek yang ditemui di siang hari biasanya tidak mengeluarkan sebarang cahaya.
  2. Cahaya Malam atau “Nocturnal Lights”. Objek-objek terbang ini jika dilihat pada waktu malam biasanya akan mengeluarkan cahaya berbentuk terang, berwarna-warni atau pun mempunyai beberapa buah lampu pada badannya.
  3. Radar & Visual. Ini merujuk kepada kemunculan objek-objek terbang atau UFO yang dapat dikesan dengan radar serta dapat dilihat dengan mata. Kehadiran objek misteri ini menjadi kukuh bila alat radar dapat mengesannya dan disahkan oleh saksi-saksi yang juga dapat melihatnya dengan jelas. Bila berlaku kes sebegini, ia tidak boleh dianggap sebagai satu ilusi atau pun khayalan.
  4. Penemuan Jenis Pertama atau “Close Encounter of the First Kind”. Jika objek terbang dilihat pada jarak dekat, ia biasanya akan mempamerkan beberapa ciri yang jelas seperti tingkap, kaki pendaratan, aerial dan sebagainya.
  5. Penemuan Jenis Kedua atau “Close Encounter of the Second Kind”. Dalam kategori ini, objek-objek tersebut akan meninggalkan kesan fizikal pada saksi, kesan pada tanah tempat ia mendarat, dahan atau ranting pohon patah, rumput terbakar atau seperti dihempap objek yang berat, haiwan menjadi resah dan panik, gangguan pada peralatan elektronik, gangguan bekalan elektrik dan sebagainya.
  6. Penemuan Jenis Ketiga atau “Close Encounter of the Third Kind”. Penemuan jenis ini merujuk kepada saksi-saksi yang mendakwa melihat atau bercakap-cakap dengan krew objek terbang atau makhluk asing.
  7. Penemuan Jenis Keempat atau “Close Encounter of the Fourth Kind”. Jika ada saksi-saksi yang mendakwa telah dijemput masuk ke dalam UFO dan dibawa terbang di dalamnya atau diculik secara paksa ke dalam UFO, maka kes-kes sebegini di masukan ke dalam kategori ini.

Kajian laporan UFO di Malaysia bagi tahun 1950-2001 menunjukkan 45 peratus daripada  objek ini  adalah berbentuk piring dan 32 peratus bulat. Ia banyak dilihat di Kedah, Pulau Pinang dan Selangor. Waktunya muncul dicatat sekitar jam 8 malam. Pada waktu malam, Ia akan keluarkan warna putih, merah dan kuning seperti yang dilaporkan.

Ia biasanya terbang dalam keadaan yang senyap. Enjinnya tidak bising seperti kapal terbang atau pun helikopter kita. Tetapi jika saksi berada dekat dengannya sewaktu ia hendak mendarat atau berlepas, akan kedengaran bunyi yang samar-samar seperti bunyi generator, bunyi sekumpulan tebuan dan sebagainya. Selalunya bahang udara panas dapat dirasai ketika UFO berlepas naik ke langit.



Badan UFO tidak mempunyai rivet atau pun skru. Ia kelihatan licin dan tidak bersambung-sambung seperti pesawat biasa. Selalunya ia kelihatan pejal serta metalik, warnanya putih atau pun kelabu. Objek ini berbentuk piring dan biasanya badannya akan berputar perlahan. Ia juga ada mempunyai tingkap, ada seperti kubah di atasnya dan kadang kala ada aerial di atasnya. Bila hendak mendarat, ia akan mengeluarkan kaki pendaratan yang berbentuk seperti separuh bebola atau pun kaki panjang.

Pergerakan objek-objek ini di udara kadangkala kelihatan agak tidak stabil seperti terenjut-enjut. Ia boleh membuat pusingan 90 darjah dengan serta merta. Ia juga dapat berhenti di udara dan duduk terapung tiba-tiba dari kelajuan yang deras. Jika hendak mendarat, ia boleh turun seperti helikopter atau melayang-layang seperti daun yang luruh.

Bila objek UFO mendarat, ia meninggalkan kesan tanah yang terbakar atau seperti dihempap objek yang berat. Haiwan biasanya sangat sensitif dengan kesan pendaratan UFO. Mereka akan menjadi resah dan panik bila dibawa menghampiri tempat pendaratan UFO. Haiwan biasanya tidak akan menghampiri tempat pendaratan UFO berbulan lamanya. Tumbuhan yang mati di tempat pendaratan mengambil masa yang lama untuk tumbuh kembali. Bila dikesan menggunakan Geiger counter, tempat pendaratan UFO menunjukkan kehadiran radiasi yang tinggi dari paras biasa.

Makhluk asing yang dilaporkan turun dari UFO mempunyai saiz dan rupa bentuk yang berbeza-beza. Makhluk asing yang paling kecil pernah dilihat ialah 2 inci tinggi dan yang paling besar melebihi 5 meter tinggi. Ada makhluk asing yang mirip seperti manusia, ada yang seperti Bigfoot, ada yang seperti haiwan dan ada yang lebih ekzotik. Kita akan jarang dapat melihat makhluk asing yang sama. Mereka biasanya dilihat sekali dua dan selepas itu tidak dilihat atau dilaporkan lagi. Setiap kali ada laporan baru, kita akan temui spesies yang baru. Ini tentu ada kaitan dengan alam yang luas serta pergerakan galaksi-galaksi.

Di antara 1950 hingga 2001, terdapat tidak kurang dari 80 kes penemuan dengan makhluk asing di Malaysia. Kebanyakan makhluk asing ini bersaiz kecil di antara 2 ke 6 inci tinggi. Tetapi selepas tahun 1984, makhluk asing bersaiz 1 ke 3 kaki tinggi mula dilaporkan. Terdapat tidak kurang dari 10 kes penemuan makhluk asing dalam saiz ini.

Makhluk asing jika bertemu dengan manusia, mereka akan bercakap dalam bahasa negara yang mereka muncul. Jika mereka muncul di United Kingdom umpamanya, mereka bercakap dalam bahasa Inggeris. Jika mereka muncul di Malaysia, mereka bercakap bahasa Melayu. Ada terdapat satu insiden di Bagan Serai, Perak di mana mereka bercakap dengan saksi Melayu di dalam bahasa Melayu. Satu lagi kes yang berlaku di Sarawak di mana makhluk asing menjemput seorang berbangsa Cina untuk mengikut mereka. Tidak pasti di dalam kes ini sama ada mereka cakap Cina atau Melayu.

Kehadiran makhluk asing yang berbeza-beza ini mungkin menggambarkan kepada kita, jika ada kehidupan lain di alam ini, maka inilah keadaan yang akan ditemui. Seperti juga di lautan yang luas di diami oleh hidupan laut yang berbeza-beza, maka alam ini, jika ada penghuni yang lain, bentuk serta spesies yang beraneka bentuk adalah dijangkakan.

Kebesaran ciptaan Tuhan adalah di luar jangkauan pemikiran manusia. Ilmu yang ada pada manusia hanya ibarat setitik daripada air lautan yang luas. Di luar sana di angkasa raya, kemunculan objek-objek terbang yang tidak dikenali atau UFO di udara Bumi mempamerkan sebahagian kecil dari kebesaran ciptaan-Nya.

Comments

  1. itulah dia tentera nabi isa a.s..yg sedang menghantar tentera perisik mereka..bersiap sedia lah wahai org org Kristian!

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Pengawal Rumah Melayu Lama

Laluan rahsia Genting Bidai

Air yang menyembuhkan penyakit